Friday, July 31, 2015

UKIRLAH SENYUMAN DI BIBIR... RAWATLAH HATI YANG PILU...

Ukirlah senyuman di bibir,rawatlah hati yang pilu...senyum untuk menelan pedihnya kehilangan, nescaya pilu kan terawat dalam kenangan...


Ukirlah senyuman di bibir...rawatlah hati yang pilu...ia cuma sedih di dunia, adatnya esok sedih akan hilang jua...

Sunday, December 21, 2014

DOAKAN ADIK MAK...DOAKAN ADIK AYAH..



Alhamdulillah...


Mak dan Ayah ke Mekkah juga tuk menunaikan Umrah. Rasa syukur sangat.
" Last mak pergi tahun 1993, rasanya dah lama dah "
Banyak kali mak cakap begitu dengan aku. 

Maaf mak, maaf ayah....sebab tak mampu nak bawa mak ngan ayah ke sana. Hantar sampai KL ja. Harap mak ngan ayah redha sekadar usaha anak bongsu kamu berdua ni. Memang adik lemah dalam banyak perkara. Adik akui.

Mudah mudahan, ibadah mak dan ayah diterima Allah. Harap sangat kesihatan kalian berdua dalam keadaan terbaik ketika beribadah di sana. Dan Allah jualah sebaik baik penjaga, sepanjang kalian menjadi tetamuNya di sana.

Doakan adik Mak....Doakan Adik Ayah...agar dapat juga adik dan keluarga pergi ke sana suatu hari nanti. Insya Allah.

Dengan tangan yang penuh dosa ini Ya Allah...dan hati yang selalu leka.....kau izinkan lah aku...pendosa yang mencari noktahnya....untuk menjadi tetamu suatu hari nanti...bersama keluarga ku.

Monday, February 10, 2014

Ada sesiapa Yang Ingin Mati Hari Ini ?



Ada seorang Ustaz sedang berceramah kepada sekumpulan pelajarnya.
Saat tengah berceramah, tiba-tiba sang Ustaz pun bertanya kepada murid-muridnya, siapakah di antara kamu semua yang ingin masuk ke syurga ?

Semua murid pun menjawab : "Sayaaa!!!"....kuat dan bersemangat jawapannya.

Kemudian sang Ustaz bertanya lagi : Siapakah di antara kamu semua yang mencintai Allah ?
Semua muridnya itu pun menjawab lagi : "Sayaaa!!!"..Lebih kuat dan lebih bersemangat dari tadi.
Lalu kemudian sang Ustaz pun berkata sebagai reaksi kepada jawapan mereka : Jadi siapakah di antara kamu semua yang ingin MATI pada hari ini ?
Langsung diam dan senyap kelas tersebut....Tiada lagi orang yang menjawab mengatakan saya atau sebagainya....
Ya, kematian itu sangat dibenci tetapi bukankah jika kita benar-benar sangat mencintai Allah maka kita akan berasa rindu dan ingin segera bertemu dengan-Nya ?
 

Bukankah jika kita tidak mati maka kita tidak akan dapat pergi ke syurga ?
 
Semua diam, tidak menjawab kerana tidak ada sesiapa yang bersedia atau mahu mati sedang nikmat dunia masih terasa sedap dalam hati mereka....

Saturday, November 30, 2013

FOTO FOTO WARISAN PENINGGALAN RASULULLAH SAW

Assalamualaikum WBT.

Insha Allah hari ini nak berkongsi beberapa gambar peninggalan dan warisan Rasulullah SAW . Sebelum itu saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan. Sila buat teguran melalui komen utk saya betulkan dan pengetahuan bersama.
Foto foto yang disiarkan ini saya ambil melalui internet sama ada melalui google images atau beberapa blog yang saya yakini ketelusan kesahihannya.

Moga ada manfaat untuk semua. Sollu Alan Nabi....


1. Baju / Gamis dan Jubah milik Nabi SAW.











2. Pedang Rasululullah SAW









3. Topi Perang Rasulullah SAW


4. Serban Rasulullah SAW





5. Sandal / Kasut Nabi SAW










6. Dan beberapa peninggalan warisan lain....

                                                           Bendera Tentera Islam



                                             Rambut dan Janggut Rasulullah SAW


                                 
                                   Bekas / Kotak milik puteri baginda FAtimah Az Zahra'



                                                         Busur panah Rasulillah SAW


                                                                    
                                                               Bekas Minuman


                                                                    


                                                          Tapak Kaki Baginda







                             Surat Surat Rasulullah SAW kepada pembesar / empayar


                                                 
                                                     Bekas Pengemas Gigi Rasulullah SAW



                                                         Cop Mohor Rasulullah SAW

Wednesday, November 20, 2013

The Remy's Story ( Episode 6 ) : Mat dan Milah Part 2


Keadaan sungguh sepi. Kalau hari hari kebiasaan tak apalah...tapi ...hari ini kan hari kenduri.., 

Ada 3 pasangan yang sedang makan di bawah satu khemah, tak syak lagi mereka tu bukannya orang kampung sini. Sedangkan 3 khemah lagi di sebelahnya kosong tak berisi. 

" Mungkin adik beradik kut...tak pun kawan sekerja ayah si Milah yang ada tu "  hati kecil aku mencari cari jawapan.

Kami bertiga tidak terus ke khemah kenduri sebaliknya ke belakang rumah. Kelihatan abang si Milah dan dua orang lagi kakaknya sedang mencedok lauk gulai daging ke dalam periuk dari dari kawah. Pak Kob ( bapa saudara Milah ) pula sibuk mengarahkan kanak kanak sekolah rendah untuk mengangkat pinggan dan jug yang telah tersedia. Berpeluh sakan Pak Kob time tu.

Aku memerhatikan rumah orang kampung di sekeliling. Tertutup rapat pintu dan tingkap rumah mereka. Pak Long Park ( singkatan pada Jaafar ) yang selalu jadi ketua dalam masak memasak kenduri kendara kampung aku ini juga tak kelihatan batang hidungnya. Malah , kami asyik berpandangan sesama sendiri penuh kehairanan dan begitu juga dengan tetamu lain yang hadir. Suasana kenduri tak kelihatan langsung pada hari tersebut. Tak mungkin ayah Si Milah buat kenduri kecil kecilan hinggakan orang orang kampung pun tak dijemputnya.

" Woi Man !! Mai sini jap..." aku menarik tangan Yuzman, kawan aku satu sekolah rendah dulu, cuma berlainan kelas. Rumahnya berdekatan dengan rumah Milah.

"Man..pasaipa kenduri ni macam tak ada orang jer ? Buat kenduri kecik jer ka ? Pasaipa orang kampung tak nampak muka pun ? "

Kesian Yuzman. Bertalu talu soalan yang kami ajukan pada dia. Sampai nak terlondeh seluar slack yang dipakainya itu. Pakai selipar pun tak sama warna. Yuzman ni memang lurus bendul sikit orangnya. Walaupun nama macam orang KL. 

" Orang kampung mana ada, hampa tak tau ka, semalam depa pi rombongan ke Langkawi, dua biji bas. Semua pi. Mak ngan ayah aku pun pi. Aku ja yang tak leh ikut sebab kena jaga adik aku. "

Yuzman mula bercerita. Nampak muka macam sedih. Mesti sebab tak boleh pergi Langkawi.

" Yang lain dok rumah rasanya. Kan depa tak suka Kak Milah kawin dengan orang lain, sebab tu depa tak mau mai.."
Menyirap darah aku bila dengar cerita tu. Aku nampak Pudin tersenyum sinis dan Shuib menepuk nepuk dahinya berkali kali. 

Aku mula tersenyum sendirian. Segalanya makin jelas sekarang ni. Aku cuma sekadar mengelengkan kepala bila aku dapat memahami apa sebenarnya yang telah berlaku. Perrgh....Dahsyat lah orang kampung aku ni... 

Memang sahla orang orang kampung dah boikot kenduri Si Milah dan keluarganya. Sebab itulah tak nampak pun wajah Pak Usin yang rumahnya sebelah kubur tu, muka Mak cik Jah, isteri Pak Man tukang masak kantin sekolah rendah pun tak ada. Mungkin dah membeli dua tiga set pinggan mangkuk di Langkawi.

Begitulah hebatnya kuasa " CINTA ". Kerana cinta kita lupa semua prinsip hidup kita. Lupa apa ajaran agama. Hilang sudah sahabat , saudara mara , kaum kerabat..semuanya kerana cinta.

Aku tak kisah sangat kalau orang orang kampung ni tak suka dengan pilihan si Milah. Tak kisah juga kalau ayah Milah menerima pinangan Johan. Tapi kalau sampai boikot tak pergi kenduri, memang dah melampau !!

Aku tak pasti hingga hari ini tentang " Rombongan ke Langkawi " tu. Adakah ianya juga salah satu program yang dirancang dengan sengaja untuk tidak hadir ke kenduri hari tersebut. Namun, apa yang aku lihat dengan mata aku sendiri, begitulah kelihatannya. Mungkin juga hati aku ini yang berdosa kerana bersangka buruk terhadap mereka.

Kesian keluarga Si Milah...

Aku, Pudin dan Shuib membuat keputusan untuk 'stay' tolong di rumah kenduri tu sampai petang. Pak Kob nampak ceria bila kami berhajat nak menolong waktu itu. 

Tak berapa lama kemudian, Mat pun hadir juga. Dia pun turut sama membantu setakat yang boleh hingga petang. 
Mulia sungguh hati Mat ,walaupun aku tak setuju apa yang dia buat dengan Si Milah sebelum ini, sebenarnya ada nilai murni lain dalam dirinya yang  patut ada pada orang orang kampung . Orang kampung aku jer yg ' over ' .

Walaupun dah 15 tahun peristiwa tu berlaku , tapi kisah cinta Mat dan Milah antara kisah yang paling aku ingat dalam kembara hidup aku sebagai seorang budak kampung sekitar awal tahun 90an.

Baru baru ini , jumpa Mat di masjid waktu Solat Jumaat. Walaupun dah beruban, dan sudah mula terukir garis garis kedut di mukanya, wajah Mat masih manis ketika tersenyum bersalaman dengan aku.

Dan Mat....masih lagi 'single' hingga ke saat ini




Thursday, February 14, 2013

The Remy's Story ( Episode 5 ) : Mat dan Milah

FLASHBACK 1995

Dulu kat sebuah kampung tu ada pasangan "couple" yang paling hot. Si lelaki bernama Mat dan perempuan pula bernama Milah. Wargh....hot dia orang nih.

Semua orang kampung kenal Mat dan Milah ni. Mereka adalah pasangan kekasih yang mendapat restu semua orang. Ibubapa kedua mereka saling mengenali. Saling 'berkenan' di antara satu sama lain. Bagus lah..."COUPLE" yang mendapat restu Ibu dan Ayah. Erkk.....No Komen....

Waktu tu mereka baru tingkatan 1. Dan kisah cinta mereka ni sentiasa hebat dengan dugaan dan ujian semasa bercinta. Mat semasa budak budak, dia bawa Milah jalan jalan naik basikal. Kemudian masa dah meningkat remaja, dia 'menarik' Milah naik motor. 

Pernah pada suatu hari ,Mat dengan Milah kemalangan. Disebabkan terkejut kerbau yang tiba tiba melintas, Mat yang menunggang motor bersama Milah terus masuk parit. Mat luka agak parah. Tangan tak patah. Tapi kena simen. Milah sedih. Heronya cedera dan terpaksa masuk wad beberapa hari. Mungkin juga Milah sedih tak dapat lagi naik motor jalan jalan sehingga tangan Mat pulih sepenuhnya. 

Semasa Mat di hospital, ramai orang kampung datang melawat.Tok Imam, tok bilal, tok siak dan AJK masjid pun pergi ziarah. Semuanya minta Mat bersabar dengan dugaan yang Allah berikan. 

" Sabar yer Mat...lain kali hati hati bawa Motor tu " kata Pak Usin yang rumahnya kat sebelah kubur.
" Rajin rajin makan ubat Mat, kesian kat Milah dok sorang sorang " kata pula Mak Cik Jah isteri Pak Man tukang masak kantin sekolah rendah.

Semua orang suka Mat dan Milah. Tak ada siapa yang tak suka. Semua orang akan tersenyum dan melambai lambai tangan jika mereka ternampak Mat dan Milah berjalan jalan bersama, berpegangan tangan berdua, berpelukan atas motor, makan cucur udang kat kedai,makan ais kacang tepi lombong dan macam macam aktiviti lagi.Tak ada siapa pun yang marah atau tegur pasangan sejoli ni. Bagi penduduk kampung tu, Mat dan Milah adalah kebanggaan mereka, pasangan yang sama cantik dan sama padan. Semua orang mendoakan agar Mat dan Milah akan berkahwin suatu hari nanti.                ( Ishk.....naik menyampah aku taip semua ni )

Macam artis la dia orang nih. Artis kampung. Hmm.....

Selepas tamat pengajian sekolah menengah, Milah menyambung pengajian ke sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur. Sedangkan Mat, resultnya tak berapa elok, so dia stay kat kampung jer, bekerja kilang di sebuah bandar yang berdekatan.

Tapi , cinta mereka terus berbunga dan harum mekar mewangi. ( Buwwweekk....). Milah akan pulang ke kampung bila ada cuti. Pada waktu itulah mereka melepaskan rindu masing masing setelah sekian lama tak berjumpa. Milah akan terus ke rumah Mat sebaik saja tiba dari bandar. Kadang kadang, Mat akan tunggu di stesyen bas untuk temankan Milah . Begitulah romantisnya keadaan kedua 'makhluk' ni. Masa cuti Milah dihabiskan banyak bersama Mat berbanding keluarganya sendiri.

Dipendekkan cerita, Milah telah berpaling tadah dalam sumpah setianya. Akhirnya setelah lebih 4 tahun belajar di kota, Milah menyatakan hasratnya sudah bersedia untuk dilamar seseorang. Malangnya , orang itu bukan Mat, tapi Johan, seorang pensyarah muda tempat Milah belajar dahulu. 

Sedih pula hati kedua ibubapa Milah mendengarnya. Mereka nak sangat Mat jadi menantu, memandangkan Mat dengan Milah dah lama bercouple, juga mengenangkan pengorbanan yang Mat telah buat untuk Si Milah. Tapi mereka terpaksa akur dengan kehendak dan pilihan Milah. Milah bukannya Milah yang dulu lagi. Cinta Milah telah berubah.  Berubah kepada Johan. 

Pertunangan dilangsungkan secara kecil kecilan. Dan majlis perkahwinan 2 bulan selepas itu. Habis riuh sekampung yang Milah akan berkahwin dengan orang lain. Bukannya Mat, hero kampung pujaan mereka selama ini. Ada yang menangis, ada yang marah, ada yang mengeleng gelengkan kepala, semuanya tak menyangka kisah cinta Mat dan Milah berakhir sebegini.

Bagaimana dengan Mat ? 

" Nak buat camna..dah bukan jodoh aku, Lagipun aku kerja kilang ja "

Dengar macam ayat sedih, tapi Mat redha atas apa yang berlaku. Dia berasa bahagia, sekiranya Milah bahagia. Orang kampung sajer yang lebih lebih.

" Wei...Remy...jom esok kita pi kenduri rumah Milah " Pudin menyergah aku dari belakang.
" Milah ?..Milah mana "
" Milah mana lagi..Milah artis la...jangan lupa ..esok tau. Kami mai ambik hang tempat biasa. " Pudin dan Shuib terus berlalu dengan motor CDI merah buruk kesukaan mereka.

Keesokkan hari, ketika kami bertiga sampai di rumah kenduri, kami telah melihat suatu pemandangan yang cukup aneh dan pelik. Tak pernah lagi aku lihat suasana sebegini di rumah kenduri.....

" Eh....betul ker ni...atau ini semua hanya mimpi ? "

BERSAMBUNG.

Tuesday, December 25, 2012

Surat Suami Untuk Ummi





Salam Ummi, moga dirahmati Allah selalu.

Maaf sebab lama tak bertanya khabar ? Biarpun Ummi sentiasa ada di sebelah, tinggal pun serumah, entah kenapa tak terfikir pun nak tanya khabar Ummi. Mungkin dengan melihat senyuman Ummi setiap hari, membuat abang lupa keresahan dan sakit demam Ummi. Ummi sihat kan Ummi ? Kalau demam, sakit sakit dan lenguh lenguh di badan, anggap itulah kasih sayang dr Ar Rahman. Mudah mudahan gugur jua segola dosa, dan dipermudahkan urusan terakhir Ummi...di Mahsyar nanti.

Kenapa hantar surat ?

Tak tahulah Ummi....Tapi itu yang tergerak di hati buat masa ini..Bukankah ada banyak surat di sebalik cerita The Remy's Story..:) , Tapi kali ini berbeza Ummi...surat pertama abang setelah bertahun menjadi suami, 
Kerna memang ada benda yang abang belum sampaikan sehingga kini. Insya Allah mohon kekuatan agar dapat dicoretkan di sini. Ummi kena faham tanggungjawab sebagai suami bukanya mudah. Ummi dan anak anak adalah amanah Allah untuk abang. Jadi selagi ada masa untuk kita bersama, selagi itulah abang tidak boleh berlepas tangan di atas amanah ini. Doakanlah abang Ummi.., doakanlah agar abang sentiasa diberi kekuatan untuk menunaikan amanah Allah ini.

Syukurlah Ummi..

kerna Ummi dijadikan seorang perempuan, kerna perempuan itu BEKERJA untuk Allah. Melahirkan manusia di atas muka bumi ini.
Tiap-tiap bulan Ummi  diberi cuti bergaji penuh..7 sehingga 15 hari sebulan Ummi tak wajib menunaikan solat tetapi Allah anggap diwaktu itu merupakan SOLAT terbaik dari Ummi. Cuti bersalin juga sehingga 60 hari. Cuti ini bukan cuti suka hati tapi, cuti yang Allah beri sebab Ummi  bekerja dengan Allah. Abang tak dapat semua keistimewaan ini...solat wajib bagi abang dan untuk semua lelaki baligh atas muka bumi, sehingga habis nyawa kami....

Jealouslah Ummi..:[

Sebab Seluruh kebaikan abang ( sekiranya ada la... ) semuanya Ummi dapat pahala tetapi dosa- dosa abang ,abang sorang jer yang tanggung...ishk....takut la abang...dan semua dosa Ummi....sekiranya abang tahu, dan abang tak menegurnya....maka abang dikira dayus dan berdosa serta gagal dalam menjalankan tugas sebagai suami.....Ya Allah.....kalau nak ikutkan...memang abang tak mampu Ummi...kekadang rasa gagal dalam memimpin diri sendiri...mendidik hawa nafsu sendiri.....macam mana pula nak didik dan beri contoh pada Ummi dan anak anak nanti...Ummi bantulah abang..., kerna abang memang memerlukan bantuan itu....doakan agar abang sentiasa menjadi yang TERBAIK untuk kalian sekeluarga.

Ingat lagi tak Ummi...


Kisah Aisyah Ummul Mukminin yang pernah abang bacakan untuk Ummi dulu. Kata Aisyah...PEREMPUAN SOLEHAH di atas dunia LEBIH HEBAT dan LEBIH JELITA berbanding BIDADARI SYURGA kelak. ..sebab bidadari syurga tidak pernah menunaikan solat, berpuasa fardhu mahupun sunat, dan abang juga tak pernah lupakan ..hadis yang sama sama kita pelajari satu tika dahulu : “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.
(Hadis riwayat Anas Bin Malik)

Sedarlah Ummi...

Betapa mulianya Ummi dan mereka yang bernama wanita di sisi Allah dan betapa besarnya nikmat serta ganjaran yang mereka akan dapat di dunia dan di akhirat, Allah ciptakan wanita berbeza dari lelaki. Dari segi fizikal dan fitrah yang Allah jadikan berbeza antara lelaki dan perempuan itu ada tujuan dan maksudnya.
Wanita Allah anugerahkan dengan sifat-sifat tertentu seperti pemalu, lemah-lembut, penyabar, halus, kuat perasaan, mempunyai fizikal yang lemah, pendek akalnya dan sebagainya. Semuanya itu mempunyai maksud, iaitu untuk menyeimbangi lelaki yang Allah jadikan kuat fizikalnya, panjang akalnya, kasar dan tegas tingkah lakunya dan sebagainya.

Dengan sifat lemah lembut dan sabar yang dimiliki oleh seorang wanita menyebabkan ia mampu melayan ragam anak-anak; mampu berdepan dengan suaminya dengan baik.
Halus perasaan membolehkan dia cepat memahami hasrat dan masalah yang dialami oleh suaminya. Sifat halus menyebabkan wanita mampu melakukan kerja-kerja remeh seperti menjahit, menyulam, memasak dan menghias rumahtangga.
Sifat sabar membolehkan wanita melakukan kerja-kerja yang berulang-ulang atau yang sama setiap hari seperti memasak, membasuh, mengemas rumah dan sebagainya tanpa jemu-jemu. Hebat kan Ummi...:)

Last sekali Ummi..

Terima kasih atas sokongan yang Ummi berikan selama ini. Syukurilah atas nikmat yang Allah limpahkan pada keluarga kita ini. Moga Ummi akan terus mendoakan abang, menjadi yang terbaik untuk Ummi.

Dari : Suami Ummi

PEJAMKAN MATAMU ITU..DAN LIHATLAH SEGALANYA

KENAPA KITA PERLU PEJAM MATA KETIKA TIDUR..PEJAM MATA KETIKA MENANGIS...KETIKA MENCIUM SESUATU ATAU SESEORANG YANG KITA SAYANG, KETIKA NAK MEMBAYANGKAN SESUATU, DAN ADAKALANYA KETIKA MENZAHIRKAN PERASAAN YANG SERONOK..
KERANA PERKARA PERKARA TERINDAH ITU SEBENARNYA DAPAT DIGAPAI. DIRASAI DAN DIALAMI OLEH KITA HANYA DENGAN MENUTUP MATA. JANGAN TERTIPU DENGAN MATA YANG MELIHAT, SEBALIKNYA LIHATLAH DENGAN MATA HATI.

Cari Kat Sini

About Me

My photo
Bertaubat lah berkali kali wahai pendosa..bertaubatlah berkali kali, sehingga taubat kamu diterima

Followers